Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENYAMPAIAN SAGUHATI KEPADA PARA PESERTA DAN  CENDERAMATA KEPADA PARA HAKIM MUSABAQAH MENGHAFAZ AL-QUR’AN BERSERTA PEMAHAMANNYA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1447 HIJRAH

11 February 2026

MAJLIS PENYAMPAIAN SAGUHATI KEPADA PARA PESERTA DAN CENDERAMATA KEPADA PARA HAKIM MUSABAQAH MENGHAFAZ AL-QUR’AN BERSERTA PEMAHAMANNYA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1447 HIJRAH

Berakas, Rabu, 23 Syaaban 1447 bersamaan 11 Februari 2026-Musabaqah Menghafaz Al-Qur'an Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah yang telah diadakan selama dua hari, bermula pada hari Selasa, 22 Syaaban 1447 bersamaan 10 Februari 2026 di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, telah melabuhkan tirainya hari ini, Rabu, 23 Syaaban 1447 bersamaan 11 Februari 2026 dengan Majlis Penyampaian Saguhati kepada para Peserta dan Cenderamata kepada para Hakim Musabaqah Menghafaz Al-Qur'an Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Majlis pagi tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat, Pegawai Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.

Diikuti dengan Ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana Musabaqah Menghafaz Al-Qur'an Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah yang antara lain menyatakan bahawa Musabaqah ini bertujuan menyemai dan memupuk kecintaan terhadap Al-Qur'an dalam kalangan masyarakat Islam khususnya golongan belia, remaja dan kanak-kanak, sekali gus menyokong hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam melahirkan lebih ramai penghafaz Al-Qur'an di negara ini.  Pada tahun ini, seramai 364 orang calon telah mendaftar, menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Peserta telah melalui tiga peringkat pertandingan iaitu Saringan, Separuh Akhir dan Akhir. Musabaqah Peringkat Akhir dijalankan selama dua hari melibatkan lima kategori, dan keputusan akan diumumkan sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an Peringkat Negara. Sebagai penambahbaikan, sistem pemarkahan telah didigitalkan bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penghakiman, di samping siaran langsung melalui platform media sosial rasmi PPPQ MABIMS.

Majlis diteruskan dengan Musabaqah bagi Kategori 'E'.  Seramai lima (5) orang peserta lelaki bertanding bagi Kategori 'E' di Musabaqah pada pagi tadi. 

Kemuncak majlis ialah Penyampaian Saguhati kepada para Peserta dan Cenderamata kepada para Hakim Musabaqah yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.

Pada tahun ini, seramai 25 orang peserta telah memperdengarkan hafazan masing-masing dalam musabaqah ini. Daripada jumlah tersebut, penyertaan peserta perempuan adalah lebih menggalakkan iaitu seramai 18 orang, manakala peserta lelaki seramai 7 orang. Musabaqah ini dibahagikan kepada lima (5) kategori, dengan setiap kategori menampilkan lima (5) orang peserta. 

Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dan bahagian serta para pegawai kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga para jemputan dari agensi-agensi kerajaan dan institusi-institusi pengajian berkenaan.

Musabaqah Menghafaz Al-Qur'an Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah bertujuan untuk menggalakkan umat Islam di negara ini agar mendekatkan diri untuk mencintai Al-Qur'an dan menjadikan pembacaan Al-Qur'an sebagai amalan harian.  Di samping itu, ianya bertujuan turut memupuk minat yang lebih mendalam terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja untuk menguasai tajwid, hafazan serta tafsirannya, selain menyemarakkan semangat persaingan yang sihat dalam menghafaz Al-Qur'an.

Musabaqah Menghafaz Al-Qur'an Berserta Pemahamannya merupakan salah satu projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS bertujuan menyemarakkan Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam serta menjadi antara pengisian utama dalam atur cara Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an Peringkat Negara yang diadakan pada bulan Ramadan setiap tahun.​