Berakas, Selasa, 22 Syaaban 1447 bersamaan 10 Februari 2026–Dalam usaha berterusan melahirkan golongan penghafaz Al-Qur'an di Negara Brunei Darussalam yang bukan sahaja mampu menghafaz Al-Qur'an dengan lancar, betul dan sempurna, malah dapat memahami serta menghayati makna ayat-ayat suci Al-Qur'an, di samping membudayakan pembacaan Al-Qur'an sebagai amalan hidup seharian dalam kalangan kanak-kanak dan remaja khususnya, dan umat Islam di negara ini amnya, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan penganjuran Musabaqah Menghafaz Al-Qur'an Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah.
Musabaqah ini diadakan selama dua (2) hari iaitu pada hari ini, Selasa, 22 Syaaban 1447 bersamaan 10 Februari 2026 dan hari Rabu, 23 Syaaban 1447 bersamaan 11 Februari 2026 bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Pada pagi tadi, seramai 20 orang peserta Kategori 'A', 'B' 'C' dan 'D' telah memperdengarkan hafazan masing-masing.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Muhammad Azim bin Awang Haji Ali, Penolong Pensyarah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Pada tahun ini, seramai 25 orang peserta, iaitu lima (5) orang bagi setiap kategori telah layak menyertai Musabaqah Menghafaz Al-Qur'an Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah. Kesemua peserta yang layak ke Peringkat Akhir tersebut merupakan mereka yang telah berjaya melepasi Peringkat Saringan dan Peringkat Separuh Akhir Musabaqah berkenaan yang diadakan sebelum ini.
Kategori-kategori pertandingan adalah seperti berikut:
Kategori 'A' – Menghafaz satu (1) Juz Al-Qur'an, iaitu Juz 30, berserta Pemahaman Juz 30;
Kategori 'B' – Menghafaz surah-surah pilihan iaitu Surah Luqman, Surah As-Sajdah, Surah Yasin, Surah Ar-Rahman, Surah Al-Waqi'ah, Surah Al-Jumu'ah, Surah Al-Mulk, Surah Al-Jinn dan Surah Al-Insan, berserta Pemahaman Surah Nuh, Surah Al-Muzzammil, Surah Al-Muddatstsir, Surah Al-Qiamah dan Surah Al-Mursalat;
Kategori 'C' – Menghafaz empat (4) Juz Al-Qur'an, iaitu dari Juz 1 hingga Juz 4, berserta Pemahaman Surah Al-Hijr dan Surah An-Nahl; dan
Kategori 'D' - Menghafaz lima belas (15) Juz Al-Qur'an iaitu dari Juz 1 hingga Juz 15, berserta Pemahaman Surah Al-Ahqaf, Surah Muhammad dan Surah Al-Fath.
Musabaqah akan disambung pada hari kedua, esuk, Rabu, 23 Syaaban 1447 bersamaan 11 Februari 2026 yang didahului dengan pertandingan bagi Kategori 'E' kemudian diteruskan dengan Majlis Penyampaian Saguhati kepada para peserta dan Cenderamata kepada para hakim Musabaqah.
Musabaqah Menghafaz Al-Qur'an Berserta Pemahamannya Peringkat Kebangsaan merupakan acara tahunan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama yang dikendalikan oleh Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS.