Bandar Seri Begawan, Isnin, 21 Syaaban 1447 bersamaan 9 Februari 2026–Bagi mengukuhkan lagi semangat serta menguatkan azam para muslimah dalam meningkatkan ibadah sempena kedatangan bulan Ramadan yang bakal tiba, di samping memperingati peristiwa agung Isra' dan Mi'raj Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar 'Ali Saifuddien dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah pagi tadi mengadakan Ceramah Khas Sempena Sambutan Isra' dan Mi'raj Tahun 1447 Hijrah serta Kedatangan Awal Ramadan bagi Kelas Bimbingan Muslimah Senegara.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, Isteri Menteri Hal Ehwal Ugama.
Tujuan penganjuran ceramah ini adalah juga untuk menggalakkan penglibatan aktif para muslimah dalam memperkembangkan syiar Islam serta mengeratkan silaturahim sesama muslimah Kelas Bimbingan Muslimah. Di samping itu, ceramah ini bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap peristiwa Isra' dan Mi'raj Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam serta mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Ceramah ini turut dihasratkan dapat mempersiapkan para muslimah dari segi rohani dan jasmani agar mereka dapat menyambut serta menghayati bulan Ramadan dengan lebih berkesan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis. Diikuti dengan ceramah khas bertajuk Dari Langit Isra' dan Mi'raj Menuju Madrasah Ramadan yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Safwan bin Mohd Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan Syair dan lagu Da'wah yang disampaikan oleh Kumpulan Muslimah Masjid Omar 'Ali Saifuddien. Sebelum majlis bersurai, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam telah dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Nurhafizah binti Haji Ismadi, Tenaga Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah.





Foto: JHEM