Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KEMPEN GOTONG ROYONG KEBERSIHAN TANAH PERKUBURAN ORANG ISLAM BAGI BELIA DAN BELIAWANIS MASJID SEMPENA KEDATANGAN BULAN RAMADAN 1447 HIJRAH / 2026 MASIHI

08 February 2026

KEMPEN GOTONG ROYONG KEBERSIHAN TANAH PERKUBURAN ORANG ISLAM BAGI BELIA DAN BELIAWANIS MASJID SEMPENA KEDATANGAN BULAN RAMADAN 1447 HIJRAH / 2026 MASIHI

Kuala Belait, Ahad, 20 Syaaban 1447 bersamaan 08 Februari 2026–Ziarah ke tanah perkuburan merupakan antara amalan yang digalakkan dalam Islam dan sudah menjadi tradisi dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini. Amalan menziarahi serta membersihkan kawasan perkuburan bukan sahaja mencerminkan rasa hormat terhadap mereka yang telah kembali ke rahmatullah, malah berperanan dalam memupuk kesedaran rohani dan kemasyarakatan. 

Sehubungan itu, bersempena dengan kedatangan bulan suci Ramadan, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dan Kumpulan Belia Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait dengan kerjasama Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Belait telah mengadakan Kempen Gotong Royong Kebersihan Tanah Perkuburan Orang Islam bagi Belia dan Beliawanis Masjid Sempena Kedatangan Bulan Ramadan 1447 Hijrah / 2026 Masihi. Kempen tersebut dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Batu 3, Kuala Belait.

Antara tujuan utama penganjuran kempen ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh kesepakatan antara golongan belia dan masyarakat setempat. Di samping mendidik para belia agar mengamalkan semangat bekerjasama, berdisiplin serta menitikberatkan aspek kebersihan dan kesihatan, kempen ini juga diharap dapat menyemai kesedaran dalam kalangan belia mengenai hakikat kematian, membudayakan amalan berdoa untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia, serta memupuk rasa tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Sebelum bertolak ke Tanah Perkuburan Islam Batu 3 bagi melaksanakan aktiviti gotong royong kebersihan, para belia dan beliawanis terlebih dahulu berkesempatan mendengar tazkirah ringkas bertajuk “Adab Ketika Menziarahi Tanah Perkuburan dan Fadhilatnya" bertempat di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait. 

Setelah selesai melaksanakan kempen tersebut, para belia dan beliawanis seterusnya mengadakan Majlis Tahlil dan Doa di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait.


Foto: JHEM