Pulaie, Sabtu, 19 Syaaban 1447 bersamaan 07 Februari 2026-Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) telah mengadakan Tarbiyah Menjelang Ramadan Bersama Muallaf di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah. Program ini dihadiri oleh para Muallaf di Daerah Brunei dan Muara.
Antara objektif program ini diadakan adalah untuk memberikan kefahaman dan ulangkaji mengenai kewajipan berpuasa di samping mempersiapkan diri sebelum melangkah ke bulan Ramadan yang mubarak.
Pengisian program termasuk ceramah dengan tajuk "Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan " yang disampaikan oleh Yang Mulia Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.
Intipati ceramah yang disampaikan ialah mengenai perkara asas tentang ibadah puasa di bulan Ramadan, persediaan dari segi mental, fizikal dan rohani serta permasalahan berhubung dengan ibadah puasa.
Tarbiyah Menjelang Ramadan ini diharap akan dapat meningkatkan lagi kefahaman saudara-saudara baru tentang kelebihan bulan puasa serta menghidupkan semangat ramadan seawal mungkin dan juga memperbetulkan niat dan amalan sebelum kedatangan bulan yang mulia itu.




Foto: PDI