Tutong, Khamis, 17 Syaaban 1447 bersamaan 05 Februari 2026–Penduduk Kampung Lamunin dan kawasan sekitarnya akan mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang dijangka siap pembinaannya pada bulan Mei 2027.
Sehubungan dengan itu, Majlis Mendirikan Tiang Masjid Baharu bagi masjid berkenaan diadakan pada pagi tadi. Hadir selaku Tetamu Kehormat Bersama pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.
Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; ahli Majlis Ugama Islam Brunei; ahli Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pembangunan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah. Diikuti dengan laungan azan dan bacaan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Wafi bin Haji Awang, Imam Masjid Kampung Lamunin.
Seterusnya, acara menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan dan diikuti oleh para jemputan khas.
Tetamu-tetamu kehormat serta para jemputan turut berkesempatan mendengar taklimat mengenai ciri-ciri reka bentuk bangunan masjid baharu berkenaan yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Ar. Hajah Hafizah binti Dato Paduka Haji Mohd Nor, Pegawai Arkitek, Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan. Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Abdul Wafi bin Haji Awang, Imam Masjid Kampung Lamunin.
Keseluruhan kapasiti bangunan masjid baharu Kampung Lamunin apabila siap nanti, boleh menampung seramai lebih kurang seribu (1000) orang jemaah. Antara kemudahan yang akan disediakan termasuk bilik kuliah, bilik teknologi maklumat (IT) dan perpustakaan, bilik pengurusan jenazah, kemudahan tandas dan tempat berwudhu bagi lelaki, perempuan serta Orang Kelainan Upaya (OKU) di samping kemudahan tempat letak kereta.
Bangunan masjid baharu ini dibina di atas sebidang tanah berkeluasan lebih kurang 6.739 ekar dengan menggunakan peruntukan di bawah Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam yang berjumlah BND5,776,214.65.
Foto: JHEM