Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 13 Syaaban 1447 bersamaan 31 Januari 2026–Bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa dengan tawaran dan ganjaran yang besar daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Setiap detik sepanjang bulan Ramadan adalah sebaik-baik masa untuk memperbanyakkan amal ibadah. Dalam sebuah hadith, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam yang maksudnya: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang telah lalu. (Riwayat al-Bukhari). Hadith ini menjelaskan kelebihan menghidupkan bulan Ramadan, namun keampunan dosa yang dijanjikan itu terikat dengan syarat keimanan dan syarat mengharapkan pahala. Dengan keimanan bermaksud mempercayai janji Allah Subhanahu Wa Ta'ala, keutamaan Qiyam dan meyakini besarnya ganjaran yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Manakala mengharap pahala bermaksud mengharapkan ganjaran dan keredaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan tidak melakukannya dengan riyak, pujian atau sanjungan manusia.
Dalam menyambut bulan Ramadan, tiga niat dan azam perlu disemai: Pertama, kita hendaklah menzahirkan kegembiraan atas kedatangan bulan Ramadan; Kedua, hendaklah memperbanyakkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana masih diberi kesempatan untuk bertemu bulan Ramadan yang mulia ini; dan Ketiga, memperbetulkan niat agar setiap ibadah dilakukan dengan penuh keikhlasan.
Demikian antara intipati Tazkirah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Hadi bin Abd Rahman, Imam Tingkat III, Masjid Kampung Danau, Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Penanjong, Tutong bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-217.
Turut hadir secara maya ialah Ahli Jawatankuasa Takmir dan para jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan juga individu yang mengikuti program ini dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Amin bin Haji Salim, Pegawai Pemantau Zon 3 Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqi'ah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Fakhri bin Haji Ibrahim, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong 3 Selatan, Seria, Belait. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Zahid Zakwan bin Haji Said, Pemangku Pegawai Pemantau Zon 2 Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Bengkurong.
Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah oleh Ahli-Ahli Kumpulan Belia Masjid Ashabul Haliim dari Masjid Pengiran Muda 'Abdul Malik, Kampung Tungku Katok. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Norezam bin Haji Zaini, Imam Tingkat III, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.
