Kiarong, Sabtu, 12 Syaaban 1447 bersamaan 31 Januari 2026–Majlis Ugama Islam Brunei menganjurkan Majlis Doa Kesyukuran sempena penubuhan Majlis Ugama Islam, Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun pagi tadi.
Majlis sambutan tersebut diadakan adalah sebagai tanda kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala sempena penubuhannya yang telah mencapai tempoh 70 tahun. Majlis diadakan bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei.
Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei, Ahli-Ahli Majlis Ugama Islam Brunei, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam, Ahli Panel Penasihat Pelaburan Harta Majlis Ugama Islam, para pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei.
Diikuti dengan membaca Surah Yasin dan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman; dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei.
Seterusnya, bacaan Doa Kesyukuran Sempena Penubuhan Majlis Ugama Islam Brunei ke-70 tahun oleh Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dan kemudiannya, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, selaku Ahli Majlis Ugama Islam Brunei.
Majlis diakhiri dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah sebanyak 3 kali beramai-ramai dipimpin oleh pegawai-pegawai Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam.
Antara objektif penganjuran Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Penubuhan Majlis Ugama Islam, Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun pada 01 Februari 1956 hingga 01 Februari 2026 adalah sebagai tanda kesyukuran di atas kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai Ketua Ugama bagi Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dan bersendikan kepada ajaran-ajaran ugama Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jemaah.
Kepesatan perkembangan Ugama Islam di Negara ini semakin menyerlah di mata dunia serta keteguhan berugama Islam yang sangat mantap. Seterusnya memohonkan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala untuk menjadikan Majlis Ugama Islam, Negara Brunei Darussalam terus istiqamah dalam menabur bakti dan kebaikan, memartabatkan syiar Islam, menjulang tinggi kepimpinan Raja, serta berkhidmat kepada agama dan masyarakat seluruhnya serta segala usaha, sumbangan dan khidmat Majlis Ugama Islam Brunei ini, diterima Allah Subhanahu Wa Ta'ala sebagai amal soleh dan dikurniakan ganjaran yang mulia disisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala.







Foto: SkiPPA BPAAM