Kilanas, Sabtu, 12 Syaaban 1447 bersamaan 31 Januari 2026–Ibadah solat merupakan Rukun Islam yang utama dan melambangkan ketaatan seorang hamba kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Solat bukan sahaja menjadi kewajipan asas bagi setiap Muslim, malah merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Pelaksanaan solat fardhu lima waktu serta solat-solat sunat berperanan sebagai penghubung rohani antara hamba dan Penciptanya. Namun demikian, masih terdapat dalam kalangan umat Islam yang belum menguasai bacaan dan pelaksanaan solat dengan sempurna.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut pagi tadi menganjurkan Bengkel Tahsinus Solat bertempat di masjid berkenaan.
Penganjuran bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan, memperbetulkan bacaan, memperkemas tatacara pelaksanaan solat serta meningkatkan kefahaman terhadap hukum-hakam fiqh solat, di samping menyemai kecintaan terhadap ibadah tersebut agar setiap solat yang didirikan menepati tuntutan syarak dan diterima di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Bengkel tersebut dimudahcara oleh Yang Mulia Awang Haji Fansuri Sharimi @ Haji Mansur bin Mohd Ali, Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas selaku Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Penyertaan bengkel melibatkan para pegawai SkiPPA dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, muslimah serta jemaah Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut.
Penganjuran bengkel ini juga sebagai menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar masjid berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu serta para pegawainya berfungsi sebagai muallim di tempat mereka bertugas. Bengkel ini turut memberikan bimbingan secara individu kepada jemaah yang kurang mahir bagi membolehkan mereka memperbetulkan dan meningkatkan kualiti pelaksanaan solat secara berkesan.
Secara keseluruhannya, bengkel ini dapat memperkukuhkan penghayatan dan pengamalan ibadah solat dalam kalangan masyarakat Islam, seterusnya meningkatkan keimanan dan ketakwaan melalui pengisian yang bermanfaat dan berlandaskan ajaran Islam.