Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

30 January 2026

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

Bandar Seri Begawan, Jumaat, 11 Syaaban 1447 bersamaan 30 Januari 2026–Sembahyang merupakan teras utama pembinaan insan dan asas dalam melahirkan individu serta masyarakat yang cemerlang di dunia dan akhirat. Sembahyang bukan sekadar amalan rutin, bahkan menjadi tiang agama yang menentukan teguh atau runtuhnya kehidupan beragama seseorang Muslim.  Sembahyang yang sebenar juga bukan sekadar menunaikan pergerakan, tetapi sembahyang yang berfungsi mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, menjadi kunci kejayaan hidup, serta kunci untuk meraih syurga Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Namun, untuk melahirkan sembahyang yang cemerlang, setiap Muslim perlu sentiasa memperbaiki dan menghalusi kualiti sembahyang, sama ada dari aspek ilmu fiqh seperti rukun, syarat dan perkara yang membatalkan sembahyang, mahupun dari sudut penghayatan dan kekhusyukan. Kekhusyukan dalam sembahyang bermula dari kebersihan hati, iaitu dengan sentiasa membersihkan hati daripada dosa, maksiat dan kelalaian, agar sembahyang benar-benar menjadi teras pembinaan insan yang cemerlang, diredhai Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan membawa keberkatan dalam kehidupan.

Perkara tersebut antara intipati Tazkirah Subuh bertajuk Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammed Khairul Mu'az bin Haji Sibodaud, Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei bagi menyerikan Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' yang diadakan pada awal pagi tadi di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Wirid serta Tazkirah Subuh.

Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak umat Islam di negara ini agar memakmurkan masjid melalui amalan beribadah secara berjemaah, pengajian ilmu dan pelaksanaan aktiviti keagamaan.  Di samping membentuk masyarakat yang berdisplin, bertanggungjawab serta saling menghormati, program ini juga berperanan menanam rasa cinta terhadap masjid sebagai rumah Allah. Selain itu, untuk memupuk semangat “Negara Zikir" dan “Negara Berkat" melalui penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara berasaskan nilai-nilai Islam.

 

Foto: JHEM