Belait, Khamis, 10 Syaaban 1447 bersamaan 29 Januari 2026-Menurut statistik pengislaman di Negara Brunei Darussalam bagi tempoh dari 01 hingga 28 Januari 2026, seramai 24 orang telah memeluk agama Islam. Dengan pelaksanaan Majlis Pengislaman pada hari ini, jumlah tersebut bertambah kepada 25 orang, yang mana 5 orang adalah dari Daerah Belait.
Pada pagi tadi, satu Majlis Pengislaman bagi seorang remaja lelaki berbangsa Filipina diadakan bertempat di Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Mulia Awang Haji Mohamad bin Haji Tengah, Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Kampong Pandan C, Mukim Kuala Belait, serta Timbalan Pengetua Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Kuala Belait.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Mike Jian Carlo Tagle yang berusia 14 tahun. Beliau kemudiannya memilih nama Islam Abdul Hakim bin Abdullah. Majlis pengislaman tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Pengislaman daripada Cawangan Da'wah Daerah Belait.
Majlis diteruskan dengan alunan Dikir dan disusuli dengan penyampaian cenderahati oleh Abdul Syafiq Fauzi bin Abdullah Yong, Timbalan Pengetua Pentadbiran SMPJNPHAB, Kuala Belait sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Penganjuran Majlis Pengislaman di negara ini mencerminkan komitmen berterusan dalam menyebarluaskan syiar Islam di samping menzahirkan peranan kerajaan dalam membimbing, memelihara dan menyantuni para saudara baharu secara berterusan serta menggalakkan sokongan masyarakat dalam membantu saudara baharu menempuh kehidupan berlandaskan ajaran Islam.


Foto: PDI