Negara Brunei Darussalam, Isnin, 07 Syaaban 1447 bersamaan 26 Januari 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Da'wah lslamiah dengan kerjasama Persatuan Saudara-saudara Baru, Negara Brunei Darussalam meneruskan lagi Projek Fathul Barakah 7.0
bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan 1447 Hijrah bagi Daerah Belait, Tutong dan Temburong. Projek ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada orang ramai untuk berinfak jariah atau bersedekah berupa makanan asasi kepada para asnaf mualaf yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam menyambut kedatangan bulan suci Ramadan yang akan tiba.
Turut menyertai projek tersebut ialah Yang Mulia Awang Abdul Khaliq bin Kamree, Pemangku Ketua Cawangan Da'wah Daerah Belait dan Yang Mulia Awang Abdul Alim bin Abdullah, Yang Di-Pertua Persatuan Sinar Islam bagi Daerah Belait; Yang Mulia Awang Haji Azman bin Haji Musa, Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Pejabat Hal Ehwal Ugama Tutong bagi Daerah Tutong; dan Yang Mulia Dayang Nurul 'Ain binti Mohd Redzuan, Pegawai Perkembangan Ugama, Cawangan Da'wah Daerah Temburong, juga selaku Pemangku Yang Di-Pertua Persatuan Saudara Baru Temburong bagi Daerah Temburong.
Penerimaan sumbangan bagi projek tersebut diadakan selama dua hari iaitu bermula hari ini, Isnin, 26 Januari hingga hari Selasa, 27 Januari 2026 mulai pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang bertempat di Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Belait, Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong dan Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Temburong secara pandu lalu.
Projek tersebut telah mendapat sambutan orang ramai dengan terus menerima sumbangan berupa makanan asasi seperti beras, minyak masak, biskut, tepung, gula, makanan dalam tin, udang atau pusu kering, bawang-bawangan, garam, teh dan kopi, mee, mentega dan air mineral serta barang keperluan asasi yang bersesuaian.
Projek Fathul Barakah 7.0 merupakan kerja-kerja berkebajikan yang diungkayahkan untuk kesejahteraan para mualaf di Negara Brunei Darussalam dan juga sebagai satu dakwah bilmal dalam memeduli perkembangan kehidupan, kebajikan serta penghayatan agama Islam asnaf mualaf di negara ini agar terus dapat melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna lebih-lebih lagi menjelangnya bulan Ramadan tidak lama lagi. Di samping itu, ia juga untuk mengeratkan hubungan ukhuwah antara ahli-ahli Persatuan Saudara-saudara Baru, Negara Brunei Darussalam dengan warga Pusat Da'wah Islamiah.
Pusat Da'wah Islamiah mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang dihulurkan. Semoga sumbangan orang ramai itu mendapat keberkatan dan memperoleh ganjaran yang besar daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Daerah Belait


Daerah Tutong




Daerah Temburong



Foto: PDI