Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-216 (KHAS UNTUK WANITA KE-32)

24 January 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-216 (KHAS UNTUK WANITA KE-32)

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 06 Syaaban 1447 bersamaan 24 Januari 2026–Kaum wanita memainkan peranan yang amat besar dalam membentuk suasana rumah tangga yang menitikberatkan penjagaan sembahyang, di samping sentiasa menyokong dan melengkapi peranan suami sebagai ketua keluarga. Penekanan juga diberikan kepada kerjasama yang erat antara pihak rumah dan sekolah agar usaha serta bimbingan para guru dapat diteruskan secara berkesinambungan. Tanggungjawab mendidik anak-anak agar berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran agama merupakan amanah bersama, yang perlu dilaksanakan melalui teladan yang baik, amalan harian yang konsisten serta doa yang berterusan.

Demikian antara intipati Tazkirah bertajuk Sembahyang Bermula Dari Rumah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Mohd. Yusoff, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat Khas untuk Wanita Ke-32 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-216.

Turut hadir secara maya ialah para jemaah wanita dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan individu yang mengikuti program ini dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi diserikan oleh pembaca-pembaca utama dari Kumpulan Wardatul Jannah, Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama Ugama bersiaran dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Da'wah Islamiah yang dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayangku Mas Nuzulaisah binti Pengiran Haji Tejudin, Guru Ugama Tingkat II, Sekolah Ugama Mulaut, dari Kumpulan Wardatul Jannah, Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Norliza binti Abdul Jalil, Nazir Sekolah-Sekolah Ugama, Unit Maklumat dan Perangkaan, Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Mariam binti Haji Marsidi, Guru Ugama Tingkat II, Sekolah Rendah Katok 'A'.  Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Zikir Al-Maghfirah wa Rahmah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Norhadimah@Nur Raudhah 'Adaniy binti Haji Abd Halim, Pegawai Pendidikan, Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong.   Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Alas Sarirah@Nur Syahirah Az-Zahra binti Awang Sulaiman, Guru Ugama Tingkat II, Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheuwanita.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.