Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MENTERI HAL EHWAL UGAMA  TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA MAJLIS BELIA BRUNEI (MBB)

24 January 2026

MENTERI HAL EHWAL UGAMA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA MAJLIS BELIA BRUNEI (MBB)

Berakas, Sabtu, 05 Syaaban 1447 bersamaan 24 Januari 2026-Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama petang tadi menerima kunjungan hormat daripada Majlis Belia Brunei (MBB).  Kunjungan hormat telah diadakan di Bilik Dhiyafah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.

Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Yang Mulia Dayang Nurul Izyan Anver, Yang Di-Pertua Majlis Belia Brunei bagi sesi 2026–2028 bersama barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (AJKTTP) dan Ahli Jawatankuasa Tadbir Pusat (AJKTP) Majlis Belia Brunei yang baru dilantik.

Kunjungan hormat petang tadi adalah susulan pelantikan rasmi barisan kepimpinan Majlis Belia Brunei bagi sesi 2026–2028 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 selaras dengan keputusan Kongres Agung Perwakilan (KAP) Majlis Belia Brunei Kali Ke-8.

Kunjungan tersebut membuka ruang kepada pertukaran pandangan sekali gus memperkukuhkan kerjasama mengenai pembangunan dan pemerkasaan Belia Islam di Negara Brunei Darussalam setara dengan peranan Majlis Belia Brunei sebagai rakan strategik kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam pelaksanaan program dan inisiatif di bawah fokus strategik “Potensi Belia" MABIMS yang mana Negara Brunei Darussalam bertindak sebagai negara penyelaras, dengan pelaksanaan diuruskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Sekretariat MABIMS Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama mengalu-alukan kunjungan hormat berkenaan serta menyatakan sokongan terhadap peranan Majlis Belia Brunei sebagai badan penyelaras utama gerakan Belia di Negara Brunei Darussalam yang bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi kerajaan serta rakan strategik serantau dalam memajukan kepimpinan, penyertaan dan pembangunan Belia sejajar dengan fokus strategik “Potensi Belia" di bawah MABIMS demi pembangunan belia Negara Brunei Darussalam yang holistik, berdaya saing serta berteraskan nilai-nilai Islam dan kenegaraan.

Hadir sama di majlis kunjungan hormat tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan); dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim, Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS.

 

Foto: BPAAM​