Pulaie, Sabtu, 05 Syaaban 1447 bersamaan 24 Januari 2026–Projek Fathul Barakah 7.0 merupakan satu usaha murni yang bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai menghulurkan infak jariah atau bersedekah dalam bentuk sumbangan makanan asasi kepada para asnaf Muallaf yang memerlukan, khususnya dalam menyambut kedatangan bulan suci Ramadan.
Projek tersebut diungkayahkan oleh Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Persatuan Saudara-Saudara Baru.
Penerimaan sumbangan bagi Projek Fathul Barakah 7.0 untuk Daerah Brunei dan Muara diadakan selama dua hari, bermula hari ini, Sabtu, 24 Januari 2026 dan hari Ahad, 25 Januari 2026 dari pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang, bertempat di Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie secara pandu lalu. Turut hadir menyertai acara menerima sumbangan bagi projek tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.
Manakala penerimaan sumbangan Projek Fathul Barakah 7.0 bagi Daerah Belait, Tutong dan Temburong pula akan diadakan selama dua hari bermula hari Isnin, 26 Januari 2026 dan hari Selasa, 27 Januari 2026, dari pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang bertempat di Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Belait, Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong, dan Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Temburong.
Antara sumbangan makanan asasi yang diterima termasuk beras, minyak masak, biskut, tepung, gula (2kilogram setiap pek), makanan dalam tin, udang atau pusu kering, bawang-bawangan, garam, teh atau kopi, mi, mentega dan air mineral serta barangan keperluan asasi lain yang bersesuaian.
Usaha murni dan berkebajikan ini dilaksanakan bagi kesejahteraan para Muallaf di negara ini, di samping mengharapkan ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala serta mengeratkan hubungan ukhuwah antara ahli-ahli Persatuan Saudara-Saudara Baru dan warga kerja Pusat Da'wah Islamiah.


Foto: PDI