Temburong, Jumaat 04 Syaaban 1447 bersamaan 23 Januari 2026-Seorang lelaki berbangsa Iban telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya dan telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada Majlis Pengislaman yang diadakan di Kampung Negalang Ering, Temburong petang tadi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan Datin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya lafaz pengislaman saudara baharu di hadapan pegawai pengislaman dari Cawangan Da'wah Daerah Temburong.
Dengan majlis pengislaman itu, Awang Rizuan anak Mulok, 31, kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Haziq Ridzuan bin Abdullah Mulok.
Lafaz pengislaman disambut dengan laungan Allahu Akhbar dan dimeriahkan lagi dengan laungan Dikir Marhaban seterusnya penyampaian cenderahati oleh Tetamu Kehormat, sebelum bacaan doa selamat.
Pusat Da'wah Islamiah mencatatkan seramai 16 orang yang telah memeluk agama Islam sepanjang bulan Januari tahun ini, termasuk majlis pengislaman yang berlangsung pada hari ini.




Foto: PDI