Berakas, Sabtu, 05 Syaaban 1447 bersamaan 24 Januari 2026-Majlis Penerimaan Pelajar-Pelajar Baharu Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Sesi Pengajian 1447H/2026M diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Pada tahun ini, seramai 57 orang pelajar baharu iaitu 28 orang pelajar lelaki dan 29 orang pelajar perempuan telah diterima masuk ke institut berkenaan. Pengambilan tersebut adalah bagi mengikuti pengajian di peringkat menengah.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir, pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama, ibu bapa pelajar-pelajar baharu yang diraikan, para pegawai dan guru serta kakitangan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Terdahulu, program minggu Ta'aruf (orientasi) bagi pelajar-pelajar baharu telah diadakan selama 4 hari bermula pada hari Isnin 22 Rejab 1447 bersamaan 12 Januari 2026 hingga hari Khamis, 26 Rejab 1447 bersamaan 15 Januari 2026. Antara aktiviti yang diaturkan sepanjang sesi orientasi tersebut seperti Bengkel Pengenalan Hafazan Al-Quran, Taklimat mengenai Bahagian Asrama dan Bahagian Perpustakaan, Taklimat Pengenalan Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Kem Motivasi dan Kepimpinan, Kelas Al-Quran, Solat Sunat Dhuha Berjemaah, Malam Cinta Rasul, Hafazan Challenge, Transformasi Huffaz, Taklimat Fire Drill dan Etika Pakaian, Aktiviti Sukan serta Kuliah Subuh.
Majlis Penerimaan Pelajar-Pelajar Baharu pagi tadi dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada pelajar baharu Tahun 7 yang bakal mengikuti Sesi Pengajian Tahun 1447H/2026M di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Surah Al-Baqarah dari ayat 1 hingga ayat 7 yang dibacakan secara bilhifzi dengan Tarannum Bayati Kurdi oleh Yang Mulia Awang Abdul Halim Mahmood bin Haji Mostapha, manakala intisarinya dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhd Danial At-Tirmidzi bin Haji Zulkifli.
Diikuti ucapan alu-aluan oleh oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Diikuti dengan ucapan daripada Tetamu Kehormat Majlis.
Majlis diserikan dengan tayangan video aktiviti minggu Ta'aruf pelajar-pelajar baharu dan diikuti dengan penyerahan Mushaf Al-Quran kepada pelajar-pelajar baharu oleh Tetamu Kehormat. Disusuli bacaan ikrar daripada pelajar-pelajar baharu Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah sesi 1446H/2025M yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Muhammad Naqib Zahran Iman bin Abdullah.
Acara diteruskan dengan penyerahan pelajar baharu daripada pihak ibu bapa pelajar yang diwakili oleh Yang Mulia Awang Najhe bin Haji Suhaile kepada pihak Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang diwakili oleh Yang Mulia Pengiran Haji Khairul Ikhwan bin Pengiran Haji Alit, Tenaga Pengajar Institut.
Kemudiannya bacaan Zikir Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah yang diketuai oleh pelajar Majlis Perwakilan Pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Muhammad Adlan bin Haji Yussop, Tenaga Pengajar Institut berkenaan.