Berakas, Selasa, 01 Syaaban 1447 bersamaan 20 Januari 2026-Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam petang tadi menerima kunjungan hormat daripada Yang Berbahagia Prof. Madya Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Yang Di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Pusat, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ilmiah ke Negara Brunei Darussalam. Kunjungan hormat tersebut telah diadakan di Bilik Dhiyafah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.
Semasa kunjungan hormat, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam bersama Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia Pusat berkesempatan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengetahuan berkaitan Perkhidmatan Ugama termasuk pendidikan Ugama dan Arab, Dakwah dan pelaksanaan Perundangan Islam. Di samping mempererat hubungan silaturahim dan jaringan keilmuan antara kedua-dua pihak, ianya turut membuka ruang bagi kerjasama pada masa hadapan dalam bidang yang berkepentingan bersama.
Rombongan turut disertai oleh Yang Mulia Prof. Dr. Mohd Roslan bin Mohd Nor, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia Pusat; Yang Mulia Ustaz Md Razali Saibin, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Sabah; Yang Mulia Ustaz Ibrahim bin Tahir, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Terengganu; Yang Mulia Dr. Berhanuddian Abdullah, Ahli Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Terengganu, Yang Mulia Prof. Madya Dr. Saupi bin Man, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia Pusat.
Hadir sama di majlis kunjungan hormat tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim, Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS.
Persatuan Ulama Malaysia ialah sebuah badan buka kerajaan (NGO) Islam yang ditubuhkan pada tahun 1977 untuk menyatukan ulama dan ilmuwan Islam di Malaysia. PUM berperanan sebagai badan rujukan dan pemikir dalam menangani pelbagai isu dari perspektif Islam, memperkukuh kefahaman Islam wasatiyyah, menolak fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam, serta aktif menjalankan dakwah, nasihat dan aktiviti ilmiah demi menjaga kesucian agama dan keharmonian masyarakat.






Foto: SkiPPA BPAAM