Katok, Selasa, 01 Syaaban 1447 bersamaan 20 Januari 2026-Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok, pagi tadi menerima lawatan rasmi ilmiah daripada Persatuan Ulama Malaysia (PUM) bertempat di sekolah berkenaan.
Rombongan seramai 31 orang ahli Persatuan Ulama Malaysia tersebut diketuai oleh Yang Mulia Prof. Dr. Mohd Roslan bin Mohd. Nor, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia Pusat.
Ketibaan rombongan telah disambut oleh para pegawai kanan Jabatan Pengajian Islam serta Pengetua dan guru-guru Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok.
Atur cara lawatan dimulakan dengan bacaan Sayyadul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Mohammad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin, Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), Jabatan Pengajian Islam. Diikuti dengan ucapan daripada Yang Mulia Prof. Dr. Mohd Roslan bin Mohd. Nor, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia Pusat.
Rombongan turut menyaksikan tayangan video mengenai Sistem Pendidikan Ugama dan Arab di Negara Brunei Darussalam di samping video mengenai Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok. Sejurus itu, rombongan dibawa ke ruang legar sekolah bagi menyaksikan persembahan Kalam Jama'ie oleh para pelajar sekolah sebelum diteruskan dengan lawatan ke bilik-bilik darjah.
Pada lawatan berkenaan, rombongan juga berpeluang mendengarkan taklimat mengenai Pelaksanaan Undang-Undang Islam: Kesan dan Cabaran yang disampaikan Yang Mulia Dr. Awang Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan Yang Mulia Dayang Hajah Fatimah binti Ahmad dari Bahagian Pendakwaan Syari'e, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan mengenai pelaksanaan serta hala tuju pendidikan Ugama dan Arab, di samping meningkatkan kefahaman berkaitan pelaksanaan perundangan Islam di Negara Brunei Darussalam. Lawatan juga berperanan sebagai platform perkongsian ilmu dan pengalaman serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam usaha memperkasa pendidikan Islam dan penghayatan terhadap kepentingan undang-undang Islam demi menjamin keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.















Foto: BPAAM