Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM KEMBARA ZAKAT 2026

19 January 2026

PROGRAM KEMBARA ZAKAT 2026

Daerah Tutong, Isnin, 29 Rejab 1447 bersamaan 19 Januari 2026–Bagi menyalurkan maklumat serta memberikan penjelasan kepada para penghulu dan ketua-ketua kampung mengenai pengurusan permohonan bantuan Zakat, perkhidmatan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal di bawah Sistem Kebajikan Negara (SKN), di samping memperkenalkan tentang Waqaf dan Baitul Mal, juga dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan pengurusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan pelaksanaan Program Kembara Zakat 2026 pagi tadi bertempat di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, Daerah Tutong.

Hadir sama dalam Program tersebut ialah Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai; dan Yang Mulia Awang Haji Azman bin Haji Musa, Ketua Pegawai Ugama Tutong, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan. Majlis diteruskan dengan Taklimat yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Saharuddin bin Haji Petra, Pemangku Pengarah Urusan, Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sebagai sebahagian daripada pengisian Program Kembara Zakat 2026, Klinik Zakat turut dibukakan bagi mereka yang hadir di program berkenaan untuk mendapatkan panduan berkaitan prosedur permohonan Sistem Kebajikan Negara termasuk kaedah pengiraan Zakat dan Fidyah.

Penganjuran program ini diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama, khususnya dalam melancarkan pengurusan bantuan serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan ugama kepada masyarakat setempat.