Negara Brunei Darussalam, Isnin, 29 Rejab 1447 bersamaan 19 Januari 2026–Bagi sama-sama merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan penuh kesungguhan dan harapan, seluruh warga persekolahan Ugama, persekolahan Arab serta Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menyertai Munajat Khas bagi Memohon Kesihatan dan Kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Majlis ini adalah bagi institusi-institusi pendidikan di seluruh negara yang diadakan pada hari ini.
Munajat Khas tersebut mencerminkan rasa kasih, taat setia serta doa berterusan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dikurniakan kesejahteraan, kesihatan yang sempurna serta keafiatan yang berpanjangan.
Bagi institusi-institusi pendidikan di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama, majlis berkenaan telah diadakan pada waktu tengah hari dengan pengisian acara Sembahyang Fardhu Zohor dan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yasin serta Doa Khas bagi Memohon Kesihatan dan Kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Tinjauan media ke Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta beberapa buah sekolah Arab dan sekolah Ugama di keempat-empat daerah menunjukkan penglibatan aktif serta kesungguhan warga sekolah dalam memanjatkan doa, mencerminkan semangat kebersamaan dan keikhlasan rakyat dalam mendoakan kesejahteraan Raja yang dikasihi.