Belait, Ahad, 28 Rejab 1447 bersamaan 18 Januari 2026–Al-Quran merupakan petunjuk bagi seluruh umat manusia dalam membezakan antara yang benar dengan yang salah, serta menjadi pedoman utama dalam membentuk insan yang bertakwa melalui pembacaan, penghayatan dan pengamalannya secara berterusan.
Sehubungan itu, bagi memupuk dan memperkukuh semangat jemaah masjid untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait telah menganjurkan Musabaqah Membaca Al-Quran Secara Murattal Peringkat Akhir bagi Jemaah Lelaki dan Perempuan Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait bagi Tahun 1446H-1447H / 2025M-2026M dengan tema Al-Quran Panduan Hidup Kesejahteraan Ummah.
Musabaqah Peringkat Akhir tersebut diadakan pada pagi tadi bertempat di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait dengan kehadiran Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Tetamu Kehormat.
Seramai 5 orang peserta lelaki dan 5 orang peserta perempuan telah terpilih daripada keseluruhan 47 orang peserta yang telah bertanding di musabaqah tersebut yang dilaksanakan bermula tahun 2025.
Kategori Lelaki, Johan disandang oleh Yang Mulia Pengiran Haji Azahari bin Pengiran Haji Salleh dengan markah 93.75%. Naib Johan ialah Yang Mulia Awang Haji Mohaidin bin Haji Kamis dengan markah 90.25% dan tempat Ketiga ialah Yang Mulia Awang Supian bin Basri dengan markah 90.00%. Tempat Keempat Yang Mulia Awang Haji Mohd Adenin bin Haji Hamdan dengan markah 89.50% dan Kelima ialah Yang Mulia Awang Haji Ibrahim bin Haji Kamis dengan markah sebanyak 85.50%.
Manakala Kategori Perempuan pula, Johan disandang oleh Yang Mulia Dayang Hajah Norsinah binti Haji Puting dengan markah 89.25%. Naib Johan ialah Yang Mulia Dayang Zainah binti Haji Daud dengan memperolehi markah sebanyak 86.00%. Manakala tempat Ketiga ialah Yang Mulia Dayang Hajah Fatimahwati binti Ahmad dengan markah 84.75%. Tempat Keempat pula ialah Yang Mulia Dayang Hajah Sahrinam binti Lakim dengan markah 83.25% dan tempat Kelima ialah Yang Mulia Dayang Hajah Radziah binti Darhaman dengan markah 79.00%.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Asmaul Husna, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Bersama Majlis. Majlis diserikan dengan persembahan Tausyeh dari Kumpulan Muslimah Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait, sebelum pengumuman keputusan Musabaqah disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Hakim. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan saguhati kepada para peserta dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Melalui penganjuran aktiviti berkebajikan ini, diharap para peserta akan memperoleh keberkatan serta syafaat Al-Quran, di samping menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih meluas masyarakat dalam usaha memakmurkan masjid.






Foto: JHEM