Bandar Seri Begawan, Ahad, 29 Rejab 1447 bersamaan 18 Januari 2026–Bagi memohon kesihatan serta kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama pada pagi tadi mengadakan Sembahyang Sunat Hajat, Membaca Surah Yasin dan Doa Khas bertempat di Surau Institut berkenaan.
Majlis disertai oleh siswa dan siswi Diploma Aliyah Qiraat, pegawai dan kakitangan serta tenaga pengajar dan para penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah diimamkan oleh Yang Mulia Awang Haji Mustakim bin Sariyun, Tenaga Pengajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhamad Faiz Najwan bin Muhamad Saleh, Siswa Diploma Tertinggi Aliyah Qiraat Tahun 3, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Diikuti dengan Doa Khas yang dibacakan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Marilah kita menunaikan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah bagi memohon kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala supaya mengurniakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kesembuhan yang segera, kesihatan dan keafiatan yang sempurna lagi berpanjangan.
Seterusnya kita semua mendoakan agar Negara Brunei Darussalam terhindar daripada bala bencana dan dikurniakan dengan kemakmuran dan kesejahteraan.



Foto: ITQSHHB