Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 28 Rejab 1447 bersamaan 17 Januari 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama terus komited mengimarahkan aktiviti kerohanian dengan menganjurkan Progam Malam Munajat Kali Ke-215 pada malam tadi. Program tersebut telah menghimpunkan penyertaan Ahli Jawatankuasa Takmir dan Belia Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong. Turut serta ialah jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Sebelum acara Munajat dimulakan, para jemaah terlebih dahulu menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah, Sembahyang Sunat Ba'diah, diikuti Sembahyang Sunat Hajat berjemaah dan bacaan Doa Khas bagi Kesihatan dan Kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Acara Munajat seterusnya dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Arfan bin Haji Mohd Yussof, Penghulu Mukim Pengkalan Batu, Daerah Brunei dan Muara yang bersiaran dari Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong. Diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Asbullah bin Haji Ahmad, Imam Tingkat III selaku Ketua Imam Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Manakala bacaan Doa Khas oleh Yang Mulia Awang Haji Matudin bin Haji Tahir, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Penasihat Takmir Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong.
Seterusnya, bacaan Selawat As-Syifa beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Md. Waseem bin Md. Rizal, Belia Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong, dan diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Md Rizal bin Haji Johari, Guru Ugama Terlatih, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Mukim Pengkalan Batu.
Melalui program ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama merafa'kan doa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala memohon dikurniakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kesembuhan yang segera, kesihatan dan keafiatan yang sempurna lagi berpanjangan.
Seterusnya kita semua mendoakan agar Negara Brunei Darussalam terhindar daripada bala bencana dan dikurniakan dengan kemakmuran dan kesejahteraan.
