Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ PERINGKAT NEGARA TAHUN 1447 HIJRAH

17 January 2026

MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ PERINGKAT NEGARA TAHUN 1447 HIJRAH

Berakas, Sabtu, 27 Rejab 1447 bersamaan 17 Januari 2026–Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Isra' Dan Mi'raj Peringkat Negara bagi Tahun 1447 Hijrah. Majlis berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Negara Brunei Darussalam.

Berangkat sama ialah paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri serta Kerabat Diraja dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara; Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan yang lain.

Majlis Sambutan Isra' Dan Mi'raj Peringkat Negara bagi Tahun 1447 Hijrah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an, Surah al-Isra', ayat 78 hingga 85 oleh Yang Mulia Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili, Pegawai Pelajaran Tarannum, Institut Tahfiz Al-Qur'an Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Tadabbur disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Rashid bin Awang Haji Damit, Setiausaha Pertama, Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Sejurus selepas itu, Sembah alu-aluan kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah.

Antara lain Yang Berhormat Pehin menyembahkan bahawa Sambutan Isra' Me'raj yang dianjurkan ini adalah bertemakan Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang. Iaitu selaras dengan signifikan peristiwa bersejarah Nabi Muhammad Junjungan kita Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam diIsraa'kan1 oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya, ayat pertama Surah al-Isra', kemudian dari Masjid el-Aqsa Baginda diMe'rajkan2 sampai ke Sidratul Muntaha. 

Maka dengan itu penganjuran sambutan dan peringatan adalah merupakan ruang yang luas untuk meraih pengajaran dan memanfaatkannya bagi menambahkan pengetahuan dan kefahaman dalam mengamalkan ajaran-ajaran Islam. Terutama sekali dalam konteks dasar dan program Kerajaan seperti usaha yang berterusan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, yang cemerlang melalui pendidikan dan sebagainya.  

Maka ibadat sembahyang yang merupakan perbuatan untuk dilaksanakan dengan sempurna adalah pendidikan atau latihan untuk seseorang bekerja, berusaha dengan rajin dan tekun. Dalam ajaran Islam, hal yang sedemikian itu dihubungkan dengan nilai atau mutu seseorang yang dikasehi oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan mendapat kasih sayang-Nya,

Dengan demikian hadits Baginda ini adalah merujuk juga kepada melahirkan modal insan yang berjaya dengan cemerlang menerusi rajin dan tekun mengerjakan suruhan dan melaksanakannya dengan sempurna iaitu melalui amal ibadat sembahyang yang dilaksanakan dengan sempurna.

Seterusnya dalam konteks orang yang berjaya pula sembahyang itu juga jadi ukuran nilai atau mutu  bagi menentukan seseorang itu orang yang akan berjaya dan sedang beroleh kejayaan cemerlang. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala, di awal Surah al-Mu'minun jelas sekali menyebutkan sebagaimana Tafsirnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusu' dalam sembahyang mereka.

Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan mengurniakan Sabda.

Majlis diteruskan dengan persembahan Selawat Badriyyah oleh gabungan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Kesihatan dan Progresif Sdn. Bhd.

Diteruskan dengan persembahan khas (Kalam Jama'ie) oleh pelajar-pelajar Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba.

Kemudian diikuti dengan ceramah khas bertajuk SEMBAHYANG TERAS MODAL INSAN CEMERLANG disampaikan oleh Yang Berbahagia  Prof. Dato' Dr. Haji Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim, p enceramah undangan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.

Tema Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah ialah SEMBAHYANG TERAS MODAL INSAN CEMERLANG dan dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Kesihatan dan Progresif Sdn.Bhd.

 

Foto: SkiPPA BPAAM