Negara Brunei Darussalam, Jumaat, 26 Rejab 1447 bersamaan 16 Januari 2026–Bagi memohon kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala supaya mengurniakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kesembuhan yang segera, kesihatan dan keafiatan yang sempurna lagi berpanjangan, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin, Sembahyang Sunat Hajat dan Doa Khas sebelum menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat, bermula pukul 12.15 tengah hari tadi dan diikuti dengan Khutbah Khas.
Acara anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama itu dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Yang Mulia Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai dan kakitangan dari kementerian-kementerian.
Majlis tersebut diadakan di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, Daerah Brunei dan Muara; Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait, Daerah Belait; Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Daerah Tutong, dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong.
Marilah kita menunaikan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah bagi memohon kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala supaya mengurniakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam dengan kesembuhan yang segera, kesihatan dan keafiatan yang sempurna lagi berpanjangan.
Seterusnya kita semua mendoakan agar Negara Brunei Darussalam terhindar daripada bala bencana dan dikurniakan dengan kemakmuran dan kesejahteraan.