Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS SEMBAHYANG SUNAT HAJAT, BACAAN SURAH YASIN DAN DOA KHAS BAGI KESIHATAN DAN KESEJAHTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

15 January 2026

MAJLIS SEMBAHYANG SUNAT HAJAT, BACAAN SURAH YASIN DAN DOA KHAS BAGI KESIHATAN DAN KESEJAHTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Kiarong, Khamis (malam Jumaat), 26 Rejab 1447 bersamaan 15 Januari 2026–Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yasin dan Doa Khas bagi Kesihatan dan Kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Majlis berlangsung di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara; Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II; Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan dan Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah, Sembahyang Sunat Hajat, diikuti dengan membaca Surah Yasin dan seterusnya bacaan Doa Khas yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.

Azan Isya' dikumandangkan oleh Yang Mulia Begawan Mudim Awang Haji Amran bin Haji Mohd Salleh, Pegawai Masjid, Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. 

Kemudiannya majlis diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Isya' diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat, Pegawai Masjid, Jame 'Asr Hassanil Bolkiah.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah serta Kerabat Diraja berangkat meninggalkan majlis.

Turut hadir bagi menunaikan Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yasin dan Doa Khas lewat petang tadi ialah warga perkhidmatan awam, anggota pasukan beruniform, ahli jawatankuasa takmir dan jemaah masjid serta orang ramai.

Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yasin dan Doa Khas ini turut diadakan secara serentak di masjid-masjid utama di 3 daerah yang lain iaitu bagi Daerah Belait, di Masjid Mohammad Jamalul Alam, manakala bagi Daerah Tutong di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, dan Daerah Temburong di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

Marilah kita menunaikan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah bagi memohon kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala supaya mengurniakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kesembuhan yang segera, kesihatan dan keafiatan yang sempurna lagi berpanjangan.

Seterusnya kita semua mendoakan agar Negara Brunei Darussalam terhindar daripada bala bencana dan dikurniakan dengan kemakmuran dan kesejahteraan.

Foto; SkiPPA BPAAM