Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENGUMUMAN KEPUTUSAN DAN PENYAMPAIAN CENDERAMATA  MUSABAQAH MENGHAFAZ AL-QURAN BERSERTA PEMAHAMANNYA  PERINGKAT SEPARUH AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1447 HIJRAH

15 January 2026

MAJLIS PENGUMUMAN KEPUTUSAN DAN PENYAMPAIAN CENDERAMATA MUSABAQAH MENGHAFAZ AL-QURAN BERSERTA PEMAHAMANNYA PERINGKAT SEPARUH AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1447 HIJRAH

Berakas, Khamis, 25 Rejab 1447 bersamaan 15 Januari 2026–Seramai 25 orang peserta daripada 75 orang peserta yang bertanding iaitu 5 orang peserta dari setiap kategori telah terpilih memasuki Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah yang akan diadakan nanti.

Perkara tersebut telah diumumkan petang tadi oleh Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah, Yang Mulia Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama di Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah yang diadakan petang tadi bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah telah berlangsung selama tiga [3] hari berturut-turut bermula pada hari Isnin, 12 Januari 2026 hingga hari Rabu, 14 Januari 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS Blok 2H, Tingkat 7, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan.

Majlis petang tadi dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah.

Acara diteruskan dengan Pengumuman Keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah oleh Pengerusi Jemaah Hakim.  Diikuti dengan penyampaian cenderamata dan sijil kepada para peserta Musabaqah dan hakim-hakim Musabaqah oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Antara objektif Musabaqah ini diadakan ialah untuk mengalakkan umat Islam di negara ini agar berjinak-jinak mencintai Al-Quran melalui hafazan dan menjadikannya sebagai amalan harian.  Ianya juga bertujuan untuk menambahkan lagi bilangan para huffaz di negara ini, di samping memperoleh pahala dan ganjaran dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala.  Musabaqah ini juga diharap dapat mendorong serta membantu para peserta dan orang ramai untuk memahami maksud yang terkandung dalam Al-Quran antaranya, fakta-fakta surah, nasihat, pengajaran dan hukum-hukum tajwid.

 

Foto: BPAAM​