Bandar Seri Begawan, Khamis, 25 Rejab 1447 bersamaan 15 Januari 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah memaklumkan bahawa Bahagian Kawalan Makanan Halal, di bawah kuasa yang diberikan oleh Majlis Ugama Islam Brunei di bawah Bab 6(3), Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 telah membatalkan Sijil Halal dan Sijil Penyelia Halal Majlis Ugama Islam Brunei yang dikeluarkan terhadap Syarikat Rosmawey beralamat No. 23-284, kampong Lambak, Berakas, Negara Brunei Darussalam, berkuat kuasa pada 10 Januari 2026.
Pembatalan ini dibuat susulan penemuan 67.21 kilogram daging mentah yang diragui kehalalannya di premis tersebut, hasil daripada pemantauan rutin Bahagian Kawalan Makanan Halal yang telah dijalankan pada 10 Januari 2026.
Kes ini sedang disiasat di bawah Bab 37, Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 yang memperuntukkan bahawa mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua (2) tahun atau denda tidak melebihi BND8,000 atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan dengan itu, semua pemegang Sijil Halal Majlis Ugama Islam Brunei di negara ini adalah diingatkan agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang serta syarat-syarat pensijilan halal yang ditetapkan. Kementerian Hal Ehwal Ugama juga menegaskan bahawa setiap pemegang Sijil Halal bertanggungjawab sepenuhnya memastikan segala peralatan, bahan dan proses penyediaan makanan adalah halal, suci serta bebas daripada sebarang unsur yang tidak halal atau meragukan.
Sebarang pelanggaran terhadap syarat pensijilan merupakan suatu perbuatan yang amat serius kerana ia boleh menyebabkan masyarakat Islam di negara ini terdedah kepada pengambilan makanan yang tidak halal atau diragui kehalalannya, serta mencemarkan integriti sistem pensijilan Halal negara.
Pegawai-pegawai Penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah akan terus menjalankan operasi pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap peruntukan undang-undang dan syarat pensijilan Halal.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan penggunaan atau penjualan produk tidak Halal di premis perniagaan boleh menyalurkan aduan terus kepada Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui talian hotline 716 6222 atau datang terus ke pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah di daerah masing-masing.
Foto: JHES