Daerah Temburong, Khamis, 25 Rejab 1447 bersamaan 15 Januari 2026–Bagi menyampaikan maklumat serta memberikan penerangan kepada penghulu dan ketua-ketua kampung berkaitan pengurusan permohonan bantuan Zakat, perkhidmatan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal di bawah Sistem Kebajikan Negara (SKN) serta pengenalan mengenai Waqaf dan Baitul Mal, juga dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan pengurusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan lagi Program Kembara Zakat 2026 pagi tadi bertempat di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong, Daerah Temburong
Hadir sama dalam Program tersebut ialah Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Awang Hassan Baha bin Haji Omar, Pemangku Pegawai Daerah Temburong; Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampong Labu Estet dan Yang Mulia Awang Haris Hamdilah bin Haji Masri, Ketua Pegawai Ugama Temburong, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan. Majlis diteruskan dengan Taklimat yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Saharuddin bin Haji Petra, Pemangku Pengarah Urusan, Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program Kembara Zakat 2026 turut memuatkan Klinik Zakat yang dibukakan bagi memberikan panduan dan bantuan berhubung tatacara permohonan Sistem Kebajikan Negara, pengiraan Zakat, pengiraan Fidyah dan lain-lain serta lain-lain perkara yang berkaitan.
Program Kembara Zakat 2026 diadakan di keempat-empat daerah dan akan diteruskan lagi pada hari Isnin, 29 Rejab 1447 bersamaan 19 Januari 2026 bertempat di Kediaman Rasmi, Pegawai Daerah Tutong.
Adalah diharapkan semoga dengan adanya program ini akan dapat menjalinkan kerjasama yang lebih aktif khususnya bagi mempermudah pengurusan bantuan serta penyampaian perkhidmatan ugama kepada anak buah kampung masing-masing.