Manggis, Khamis, 25 Rejab 1447 bersamaan 15 Januari 2026–Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama tengah hari tadi menghoskan Majlis Makan Tengah Hari bagi meraikan Tuan Yang Terutama Laurence Bay, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam yang akan menamatkan perkhidmatannya dan dijadualkan berlepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam pada 23 Januari 2026. Majlis tersebut diadakan di Restoran Emperor's Court, Tingkat 3, Manggis Mall, Manggis.
Majlis diadakan adalah bagi meraikan serta menghargai jasa dan sumbangan perkhidmatan Tuan Yang Terutama sepanjang tempoh perkhidmatannya di Negara Brunei Darussalam, di samping memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang hal ehwal ugama.
Hubungan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dalam bidang hal ehwal ugama telah terjalin erat melalui platform Pertemuan Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS). Selain itu, kerjasama dua hala turut diperkukuhkan melalui lawatan-lawatan rasmi oleh Menteri-Menteri Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidil Fitri, yang secara tidak langsung mempereratkan hubungan persaudaraan dan persefahaman antara kedua-dua negara.
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam juga telah menyertai pelbagai latihan, mesyuarat dan persidangan yang dianjurkan di Republik Singapura. Pada masa yang sama, Kementerian Hal Ehwal Ugama turut berpeluang menerima peserta-peserta Singapore Ministry Programme (SMP), di mana satu sesi dialog telah diadakan bersama para peserta berkenaan di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama pada tahun 2023, sebagai platform pertukaran pandangan dan perkongsian pengalaman.
Tuan Yang Terutama Laurence Bay, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 September 2023.
Hadir sama di Majlis Kunjungan Perpisahan dan Majlis Makan Tengah Hari tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Rosli bin Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Mr. Guo Weimin, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha, Pemangku Timbalan Ra'es, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan serta pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Bandar Seri Begawan.
Foto: SkiPPA BPAAM