Belait, Khamis, 25 Rejab 1447 bersamaan 15 Januari 2026–Seramai 30 orang Muallaf dari Daerah Tutong telah menamatkan Bengkel Da'wah Bersama Muallaf selama empat hari bermula hari Isnin, 12 Januari 2026 hingga hari Rabu, 14 Januari 2026 bertempat di Dewan Serbaguna, Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong. Sehubungan itu, Majlis Penutup bengkel berkenaan telah diadakan pada petang tadi bertempat di Rumah Panjang Mendaram Besar, Daerah Belait. Bengkel tersebut merupakan anjuran Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Cawangan Da'wah Daerah Tutong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada wakil peserta Bengkel Da'wah Bersama Muallaf. Seterusnya, penyampaian sijil kepada para fasilitator dan peserta yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Awang Haji Mohammad Salleh bin Haji Othman, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan bacaan doa penutup.
Antara objektif utama bengkel tersebut adalah untuk meningkatkan kefahaman serta keyakinan para Muallaf terhadap asas-asas Islam, di samping memperkukuhkan peranan mereka sebagai duta Islam kepada ahli keluarga yang bukan berugama Islam (Non-Muslim). Bengkel berkenaan turut merangkumi beberapa modul pengisian, antaranya pengenalan asas da'wah, fardu 'ain, sesi motivasi, kemahiran komunikasi berkesan, penggunaan media da'wah, serta sesi perkongsian pengalaman sebagai Muallaf dan dalam menyampaikan da'wah kepada golongan Non-Muslim.
Para fasilitator bengkel terdiri daripada Yang Mulia Dr. Hajah Nurol Halimatulwara' binti Haji Mumin, Pensyarah Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali; dan pegawai-pegawai daripada Pusat
Da'wah Islamiah iaitu Yang Mulia Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidop; Yang Mulia Dayang Nurhuwaina binti Mamud; Yang Mulia Awang Ahmad Muzhaffar bin Haji Marsidi; Yang Mulia Awang Abdul Khaliq bin Kamree; Yang Mulia Awang Muhd. Safwan bin Mohd. Suffian; serta Yang Mulia Awang Haji Salleh Dicky bin Abdullah.
Turut hadir di Majlis Penutup bengkel ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah; Yang Mulia Awang Muhammad Nurazri bin Haji Abdul Mustafah, Pemangku Penghulu Mukim Labi selaku Ketua Kampong Labi 2; Yang Mulia Awang Berandi anak Jamau, Tuai Rumah Panjang Mendaram Besar; Yang Mulia Dayang Zikrinaidah binti Haji Mat Dikir, Ketua Cawangan Da'wah Daerah Tutong, pegawai serta kakitangan Pusat Da'wah Islamiah dan Cawangan Da'wah Daerah Tutong, serta penghuni Rumah Panjang Mendaram Besar, Daerah Belait.
Foto: PDI