Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PEMBUBARAN DAN PELANTIKAN AJK BELIA DA’IE 2023/5 – 2025/7

11 January 2026

MAJLIS PEMBUBARAN DAN PELANTIKAN AJK BELIA DA’IE 2023/5 – 2025/7

Bandar Seri Begawan, Ahad, 21 Rejab 1447 bersamaan 11 Januari 2026–Badan Sukarelawan Belia Da'ie telah mengadakan Majlis Pembubaran Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Sesi 2023-2025 dan diselajurkan dengan Majlis Pelantikan AJK baharu bagi Sesi 2025-2027, bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Majlis ini diadakan setiap dua tahun sebagai aktiviti tahunan Badan Sukarelawan Belia Da'ie bersempena tamatnya tempoh khidmat pengambilan bagi Sesi 2023-2025. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah, Pusat Da'wah Islamiah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan bacaan Surah An-Nisaa, ayat 58-59. Seterusnya, ucapan alu-aluan dan perkongsian perjalanan Belia Da'ie bagi sesi 2023-2025 yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Najiihuddin bin Nooralizam, Pengerusi Belia Da'ie.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada AJK Belia Da'ie Sesi 2023-2025 kerana dengan jayanya menjalankan beberapa program juga aktiviti dan majlis-majlis, di bawah kendalian Badan Sukarelawan Belia Da'ie di sepanjang memegang jawatan yang lalu. Menurut beliau, pelbagai halangan, cabaran, dugaan, rintangan, kemunduran, kegagalan dan kejayaan yang dihadapi dengan hati yang kuat juga minda yang terbuka, dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah selaku penasihat Belia Da'ie kerana memberikan kepercayaan amanah dalam menjalankan pelbagai aktiviti mahupun majlis.

Seterusnya pengumuman Ahli Jawatan Kuasa Tertinggi Belia Da'ie bagi sesi 2025-2027 disampaikan oleh Yang Mulia Awang Isham bin Awang Ismail, Ketua Urus Setia Program Keugamaan Belia.

Pada Majlis tersebut Yang Mulia Awang Muhammad Irsyad bin Nor Isa dilantik sebagai Pengerusi; Manakala Timbalan Pengerusi Bersama pula ialah Yang Mulia Dayang Hajah Rasyidah binti Haji Osman dan Yang Mulia Dayang Nor Najiah binti Abdullah. Setiausaha Bersama pula ialah Yang Mulia Awangku Ahmadi bin Pengiran Hj Idrus dan Yang Mulia Dayang Nur Afiqah binti Haji Awang Tengah. Yang Mulia Dayang Nur Raihan binti Ramli dilantik sebagai Bendahari; Ketua Sumber Kemanusiaan ialah Yang Mulia Awang Aziz Hanafi bin Awang Haji Hasnan dan Yang Mulia Dayang Nabilah Lutfi Inshira binti Abdul Samad; dan Exco Media ialah Yang Mulia Dayang Hadziqah binti Haji Ayop dan Yang Mulia Dayang Nurul Haziqah Ikramina binti Awang Haji Matyassin.

Sejurus itu, majlis diteruskan dengan penyerahan sijil penghargaan dan surat lantikan oleh Tetamu Kehormat Majlis kepada lantikan AJK baharu seramai 66 orang serta diiringi dengan Ikrar Belia Da'ie yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Muhammad Irsyad bin Nor Isa, Pengerusi Belia Da'ie 2025-2027.

Majlis diteruskan lagi dengan tayangan video Ristaan Belia Da'ie Sepanjang Sesi 2023-2025 dan majlis diakhiri dengan bacaan Sayyidul Istighfar serta doa penutup majlis.

 

Foto: PDI​