Bandar Seri Begawan, Khamis, 18 Rejab 1447 bersamaan 08 Januari 2026–Sejak sekolah Arab yang pertama di negara ini dirasmikan pada tahun 1967, persekolahan Arab terus menjadi tonggak pendidikan duniawi dan ukhrawi yang tulen serta berperanan penting dalam melahirkan para ulama dan cendekiawan dalam pelbagai bidang ilmu bagi mendukung pembangunan dan kemajuan bangsa, ugama, dan negara.
Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pengajian Islam terus melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan Sistem Persekolahan Arab terus berkembang maju dan mampan selaras dengan perkembangan semasa.
Pada masa ini, terdapat tujuh (7) buah sekolah Arab di seluruh negara yang menawarkan pendidikan bermula dari peringkat Sanah 5 hingga ke peringkat Pra-U. Bagi sesi persekolahan tahun ini, seramai 427 orang pelajar baharu Sanah 5 telah memulakan persekolahan di sekolah-sekolah Arab seluruh negara.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama pagi tadi mengadakan lawatan kerja ke beberapa buah sekolah Arab di negara ini bagi meninjau lebih dekat perkembangan terkini serta kesiapsiagaan sekolah-sekolah berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama pagi tadi mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba.
Pada masa yang sama, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Arab Belait. Manakala Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Arab Temburong. Sementara itu, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim pula mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Lawatan berkenaan bertujuan meninjau pelaksanaan aktiviti-aktiviti kemasukan pelajar-pelajar baharu ke persekolahan Arab serta kesiapsiagaan sekolah meliputi aspek pentadbiran, kebajikan pelajar, kemudahan prasarana dan pelaksanaan kurikulum agar selaras dengan dasar serta aspirasi Kementerian sejajar dengan matlamat melahirkan generasi yang berilmu dan berjaya, beriman dan berakhlak mulia.


Foto: BPAAM