Bandar Seri Begawan, Sabtu, 13 Rejab 1447 bersamaan 03 Januari 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai aduan yang telah diterima oleh Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah berhubung penjualan bahan gunaan berus pencuci botol jenama PAL Collection di salah sebuah pasar raya di negara ini yang disyaki diperbuat daripada bahan tidak halal.
Susulan aduan berkenaan, analisis telah dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan pada 22 Disember 2025 dan hasil analisis berkenaan telah mengesahkan bahawa bahan gunaan berus pencuci botol PAL Collection diperbuat daripada bulu khinzir.
Oleh yang demikian, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syariah telah menegaskan kepada pemilik perniagaan berkenaan supaya mengasingkan serta-merta penjualan berus pencuci botol jenama PAL Collection daripada produk-produk lain dan hanya membenarkan berus pencuci botol jenama PAL Collection di bahagian tidak halal (non-halal section) serta tidak terdedah kepada masyarakat Islam.
Dalam hal ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama turut mengingatkan para pemilik pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport supaya lebih berwaspada dan peka terhadap produk-produk serta barangan gunaan import yang dipasarkan kepada orang ramai, bagi memastikan produk-produk yang dijual adalah suci dan bersih serta tidak bercampur dengan bahan yang tidak halal. Langkah ini adalah penting bagi memelihara kepentingan dan maslahat masyarakat Islam di negara ini daripada mengambil dan menggunakan produk serta barangan gunaan yang tidak halal.
Di samping itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat dan aduan yang disampaikan. Orang ramai juga disaran agar terus peka serta menyalurkan aduan sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan penjualan produk tidak halal dijual secara terbuka di premis-premis perniagaan.
Sebarang aduan atau maklumat lanjut bolehlah disalurkan kepada Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal di talian hotline +6737166222 atau dengan menghubungi mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

Foto: JHES