Tutong, Jumaat, 05 Rejab 1447 bersamaan 26 Disember 2025-Seramai 267 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara sejak awal Januari hingga 24 Disember 2025, di mana seramai 70 orang daripadanya adalah dari Daerah Tutong.
Seorang lelaki puak Dusun, Awang Danish Adeeka bin Luhazemi berumur 24 tahun, telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup dan melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada Majlis Pengislaman yang diadakan pada tadi bertempat di Ruang Legar Masjid Kampung Birau, Daerah Tutong.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Azman bin Haji Musa, Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Hal Ehwal Ugama, Daerah Tutong. Turut Hadir, Yang Mulia Awang Masburah bin Suhaile, Ketua Kampung Birau, Luagan Timbaran dan Kebia.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan bacaan Surah Al-Fatihah. Disusuli dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Awang Danish Adeeka bin Luhazemi yang memilih nama Islamnya sebagai Awang Ahmad Danish Adeeka bin Luhazemi.
Diteruskan dengan penyampaian cenderahati daripada Pusat Da'wah Islamiah kepada saudara baharu yang diraikan. Majlis diserikan lagi dengan persembahan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Setiap Muallaf akan menjalani kursus bimbingan kendalian Pusat Da'wah Islamiah seperti Kursus Bimbingan Pengenalan selama 10 hari, dan Kursus Skim Bimbingan Asas selama 14 hari, kemudian Kursus Bimbingan Lanjut 1 dan 2. Pengendalian kursus-kursus tersebut adalah bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan asas ugama Islam dan melahirkan para Muallaf yang berilmu, beriman dan beramal serta berakhlak mulia.