Pulaie, Sabtu, 29 Jamadilakhir 1447 bersamaan 20 Disember 2025-Seorang lelaki berbangsa Cina, Lim Chin Hock, 35 tahun telah milih Islam sebagai pegangan hidupnya yang baharu dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam satu Majlis Pengislaman yang diadakan di Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.
Majlis Pengislaman tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Lim Chin Hock di hadapan pegawai Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah. Beliau kini dikenali dengan nama Islam, Muhammad Halim bin Muhammad Faisal. Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati yang diiringi Dikir Marhaban sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Setakat 17 Disember tahun ini, seramai 253 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 133 orang adalah dari Daerah Brunei dan Muara.
Majlis Pengislaman kendalian Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama mencerminkan peranan berterusan negara dalam menyebarkan Islam secara penuh hikmah dan kasih sayang. Bagi saudara-saudara baharu, majlis ini bukan sekadar satu acara rasmi, malah merupakan permulaan perjalanan hidup baharu berlandaskan iman, ilmu dan penghayatan ajaran Islam. Penganjurannya juga menekankan tanggungjawab bersama masyarakat dalam membimbing, menyokong dan memperkukuh keimanan para saudara baharu agar terus istiqamah serta menjadi anggota masyarakat yang berakhlak dan berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam.