Pulaie, Sabtu, 22 Jamadilakhir 1447 bersamaan 13 Disember 2025–Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Kebajikan Muallaf) dengan kerjasama Persatuan Nurul Islam telah mengungkayahkan projek 'Fathul 'Ilmi 1.0' bagi tahun 2025. Projek ini diadakan selama 4 hari mulai 01 hingga 4 Disember 2025 bersempena musim persediaan sesi persekolahan tahun 2026.
Sehubungan dengan itu, pagi tadi diadakan Majlis Penyerahan Fathul 'Ilmi bagi Daerah Brunei dan Muara Tahun 1447 hijrah / 2025 masihi kepada seramai 45 orang anak-anak golongan Muallaf bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah.
Antara objektif projek ini diadakan adalah untuk mengumpulkan alat-alat persekolahan yang diserahkan kepada para penerima yang memerlukan. Selain itu, inisiatif ini turut memberi peluang kepada warga Pusat Da'wah Islamiah dan orang ramai untuk sama-sama berinfak serta membantu meringankan perbelanjaan keluarga para Muallaf dalam persiapan menyambut sesi persekolahan tahun 2026.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan bacaan Surah Al-Fatihah. Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin, Pemangku Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf, Pusat Da'wah Islamiah. Diteruskan dengan penyerahan sumbangan projek 'Fathul 'Ilmi 1.0' yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Muhammad Naqib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.
Diharapkan dengan projek 'Fathul Ilmi 1.0' ini akan dapat sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan persekolahan bagi anak-anak para Muallaf yang kurang berkemampuan dan memerlukan bagi sesi pembelajaran mereka di tahun baharu 2026.





Foto: PDI