Temburong, Sabtu, 15 Jamadilakhir 1447 bersamaan 06 Disember 2025–Bagi memupuk gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan mesra, Cawangan Da'wah Daerah Temburong telah menganjurkan Sukan Muhibbah yang melibatkan para Muallaf Daerah Temburong bersama penduduk kampung sekitarnya. Acara ini diadakan di Taman Batang Duri, Daerah Temburong.
Selain menjadi wadah untuk menggalakkan gaya hidup sihat, Sukan Muhibbah juga diharapkan dapat menjadi perintis kepada usaha dakwah yang mesra, sekali gus membuka ruang agar ajaran Islam dapat disampaikan dalam suasana penuh harmoni dan persaudaraan.
Antara objektif misi dakwah tersebut adalah menggabungkan aktiviti sukan dengan pendekatan dakwah secara santai kepada penduduk setempat yang belum berugama Islam. Di samping itu, program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan muhibbah antara warga Pusat Da'wah Islamiah, Cawangan Da'wah Daerah-daerah, dan Muallaf serta Non-Muslim di dalam masyarakat.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada acara tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, seterusnya ucapan daripada Tetamu Kehormat yang kemudiannya merasmikan Sukan Muhibbah tersebut.
Adapun Sukan Muhibbah ini, selain diharap untuk memupuk rasa persaudaraan, saling menghormati dan memahami pelbagai budaya, ia juga dapat mensyi'arkan lagi ugama Islam kepada para Muallaf khususnya, dan masyarakat di Negara Brunei Darussalam amnya.



Foto: PDI