Jerudong, Isnin, 08 Rejab 1447 bersamaan 29 Disember 2025
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam tengah hari tadi menerima Kunjungan Perpisahan daripada Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah H. Al Buraithin, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam yang akan menamatkan perkhidmatan. Majlis diadakan di Bilik Chukka 1, Restoran Tarindak D’Polo, Jerudong.
Sejurus selesai Kunjungan Perpisahan, Tuan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi Ke Negara Brunei Darussalam diraikan di Majlis Makan Tengah Hari dihoskan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam bertempat di Bilik Chukka 2, Restoran Tarindak D’Polo, Jerudong.


Majlis ini diadakan bertujuan untuk meraikan serta menghargai jasa dan sumbangan perkhidmatan Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah H. Al Buraithin, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam sepanjang tempoh perkhidmatannya, sekaligus memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang hal ehwal ugama serta pengurusan Haji dan Umrah. Selain itu, menzahirkan semangat persahabatan dan kerjasama erat antara kedua-dua pihak dalam suasana mesra.
Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al Buraithin, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 September 2023.
Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Arab Saudi telah lama terjalin dengan menyaksikan banyak kerjasama terutama dalam bidang kerjasama urusan Haji dan Umrah. Kedua-dua belah pihak sangat menghargai hubungan yang terjalin akrab itu dan berharap akan terus kekal kukuh antara kedua-dua buah negara.
Hadir sama di Majlis Kunjungan Perpisahan dan Makan Tengah Hari tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama serta para pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.