Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-213 KHAS UNTUK WANITA KE-31

27 December 2025

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-213 KHAS UNTUK WANITA KE-31

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 07 Rejab 1447 bersamaan 27 Disember 2025

“Agama Islam mengajar tentang kepentingan menanamkan sifat berhemah dalam membelanjakan harta serta menjauhi amalan pembaziran. Islam menganjurkan agar harta dibelanjakan berdasarkan keperluan sebenar dan bukan didorong oleh hawa nafsu semata-mata. Di samping itu, harta hendaklah dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang membawa kebaikan, seperti bersedekah dan membantu golongan yang memerlukan. Dengan memupuk sifat berhemah dalam berbelanja, kita bukan sahaja menzahirkan kesyukuran terhadap nikmat Allah Subhanahu wa Ta’ala, malah memperoleh kebahagiaan melalui amalan saling membantu sesama insan.”


Demikian antara perkara yang disampaikan daripada Tazkirah bertajuk “Berhemah dalam Membelanjakan Harta” oleh Yang Mulia Dayang Nurul Azimah binti Abdul Hamid, Timbalan Dekan Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-213, Khas untuk Wanita Ke-31 yang bersiaran dari Masjid An-Naim, Kampung Panchor Mengkubau.


Acara Munajat pada malam tadi turut disertai oleh para muslimah Masjid An-Naim, Kampung Panchor Mengkubau dan dari beberapa buah masjid seluruh negara, serta warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan juga individu secara maya dari kediaman masing-masing. Juga menyertai, Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.


Acara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Rabiatul Adawiyah binti Haji Mohd Ali, Setiausaha Hal Ehwal Muslimah Masjid An-Naim, Kampung Panchor Mengkubau.  Diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Nursumaiyah binti Zuraimi, Penolong Keugamaan, Unit Belia dan Beliawanis Masjid An-Naim, Kampung Panchor Mengkubau.   Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Siti Hanisah Aqilah binti Rusli, Penolong Keugamaan, Unit Belia dan Beliawanis Masjid An-Naim, Kampung Panchor Mengkubau.  


Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Madihah Raneya binti Haji Paun, Pelajar Kelas Bimbingan Muslimah Masjid An-Naim, Kampung Panchor Mengkubau.  Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Nurul Atiqah binti Abd Latif, Tenaga Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah Masjid An-Naim, Kampung Panchor Mengkubau.


Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.


Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheuwanita.