

Unit Ta’zeez Al-Luhgah Al-‘Arabiah, Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama akan menganjurkan aktiviti berbahasa Arab sempena Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 1447H/2025M yang akan diadakan pada hari Khamis, 27 Jamadilakhir 1447H bersamaan 18 Disember 2025M mulai 10.30 pagi hingga 4.30 petang bertempat di Pusat Beli Belah One City, Kampung Sungai Hanching.
Tema sambutan pada tahun ini ialah “Perspektif Inovatif Bahasa Arab: Dasar dan Amalan untuk Masa Depan Linguistik yang Lebih Inklusif”.
Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia (World Arabic Language Day - WALD) disambut pada setiap 18 Disember bersempena dengan pengiktirafan Bahasa Arab oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai salah satu bahasa rasmi dunia.
Antara tujuan Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia ini ialah untuk menyemarakkan semangat dan minat masyarakat terhadapa Bahasa Arab, khususnya dalam kalangan pelajar agar mereka dapat mempraktikkan dan menghayati keindahan bahasa al-Quran serta bahasa komunikasi Rasulullah Shallallahu ‘Alahi Wasallam.
Orang ramai adalah dijemput hadir dan penyertaan adalah percuma. Pelbagai aktiviti menarik termasuk permainan berunsur bahasa serta hadiah istimewa turut disediakan bagi memeriahkan lagi acara.
Marilah bersama-sama memupuk kecintaan terhadap Bahasa Arab sambil menyertai program yang santai, bermanfaat dan penuh pengisian ini.