Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

14 December 2025

MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT

Bandar Seri Begawan, Ahad, 23 Jamadilakhir 1447 bersamaan 14 Disember 2025  
 

“Cuti hujung tahun merupakan satu nikmat yang sewajarnya disyukuri, namun perlu dimanfaatkan dengan berhemah agar tidak membawa kepada kelalaian.  Perlu diingatkan bahawa masa lapang adalah satu ujian yang akan dipertanggungjawabkan, terutama jika ia menyebabkan pengabaian dalam mendirikan solat, membaca Al-Quran dan melaksanakan aktiviti keagamaan. Umat Islam diseru untuk menjadikan waktu cuti sebagai ruang memperkukuh disiplin rohani, memakmurkan masjid, serta meluangkan masa berkualiti bersama keluarga melalui aktiviti yang membina akhlak yang mulia.” 

 

Perkara tersebut antara yang disarankan melalui Tazkirah Subuh bertajuk "Cuti: Rehat Ada, Leka Jangan" yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Khaliq bin Kamree, Penolong Pegawai Ugama, Pejabat Cawangan Da’wah Daerah Belait, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ yang diadakan pada awal pagi tadi di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. 

 

Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Wirid serta Tazkirah Subuh. 

 

Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak umat Islam di negara ini agar memakmurkan masjid melalui penghayatan ibadah, pengukuhan ilmu, amalan kerohanian serta penglibatan dalam aktiviti keagamaan.  Di samping membentuk masyarakat yang berdisplin, bertanggungjawab serta saling menghormati, program ini juga berperanan menanamkan rasa cinta terhadap masjid sebagai rumah Allah. Selain itu, untuk memupuk semangat “Negara Zikir” dan “Negara Berkat” melalui penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara berasaskan nilai-nilai Islam.