Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 23 Jamadilakhir 1447 bersamaan 13 Disember 2025
“Bulan Disember merupakan bulan yang dinanti-nantikan oleh semua peringkat umur di negara kita kerana pada kebiasaannya bulan ini diisi dengan cuti untuk menenangkan fikiran, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memperbaharui semangat. Namun demikian, ada satu perkara yang tidak pernah bercuti, iaitu kewajipan mendirikan solat. Solat ialah salah satu rukun Islam dan merupakan tiang agama. Oleh itu, walaupun dalam suasana bercuti, janganlah kita lupa atau lalai terhadap perintah-Nya. Sesungguhnya dengan menjaga solat, Allah Subhanahu Wa Ta‘ala akan memelihara kita daripada perkara-perkara yang buruk dan tidak diingini.”
Demikian antara perkara yang disentuh di dalam Tazkirah bertajuk “Jagalah Solat Ketika Bercuti” yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Salihan bin Samra, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pejabat Cawangan Da’wah Daerah Tutong, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-211 bersiaran dari Masjid Kampung Penanjong, Tutong.
Acara Munajat malam tadi dihadiri oleh belia Masjid Kampung Penanjong, Daeah Tutong; jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Salim bin Haji Othman, Penghulu Mukim Pekan Tutong.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Adib Raiyan bin Haji Muhammad Kartolo, Belia Masjid Kampung Penanjong, Tutong. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dr. Kharhan bin Haji Jait, Pengarah Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Shafiq Wafie bin Rahim, Belia Masjid Kampung Penanjong, Tutong. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Muhammad Kartolo bin Haji Abang, Ketua Imam Masjid Kampung Penanjong, Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Penerima Anugerah Pekerja Cemerlang 2025.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.
Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.