Katok, Rabu, 05 Jamadilakhir 1447 bersamaan 26 November 2025–Ke arah mendukung matlamat Wawasan Brunei 2035 bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit pagi tadi mengadakan Majlis Haflut Takharruj bagi meraikan seramai 243 orang pelajar yang berjaya menamatkan pembelajaran di peringkat Sanah (Tahun) 6 di sekolah berkenaan.
Majlis yang diadakan di Dewan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok itu, turut disertakan dengan Majlis Penyampaian Hadiah kepada Guru-Guru dan Pelajar-Pelajar Cemerlang. Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah ialah Yang Mulia Dayang Hajah Rusidah binti Haji Talip, Pemangku Penolong Pengarah (Institusi Pengajian), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan selawat Tafrijiyyah, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran berserta intisari ayat. Diteruskan dengan Lagu Kebangsaan dan Lagu Rasmi Sekolah secara beramai-ramai. Disusuli dengan Ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut, Guru Besar Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit selaku Pengerusi Majlis.
Seterusnya, penyampaian sijil kepada 28 orang pelajar cemerlang yang meraih 5A dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), serta penyampaian hadiah kepada 3 orang pelajar terbaik dari setiap kelas. Majlis juga menyaksikan Penyampaian Penghargaan Khas kepada guru-guru cemerlang, Hadiah Pelajar Terbaik Keseluruhan Sanah 6, Anugerah Khas Pelajar Mutafawwiqah, serta Anugerah Guru Dedikasi, Komited dan Berjasa.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Mari Bercerita oleh Dayang Sarah Maryam Sofea binti Hasnuddin, pelajar Sanah 6 Abyadh, dan persembahan puisi bertajuk 'Kita Satu Keluarga' oleh pelajar-pelajar Sanah 6, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Penganjuran Majlis Hafl At-Takharruj ini bertujuan untuk membarigakan dan memartabatkan pendidikan Islam dan Arab kepada masyarakat Negara Brunei Darussalam, di samping menzahirkan kegembiraan, kesyukuran dan penghargaan atas kejayaan para pelajar dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan penilaian dalaman sekolah. Majlis ini jua dihasratkan untuk memotivasikan para pelajar persekolahan Arab agar terus berusaha gigih dalam mencapai kejayaan dan kecemerlangan akademik.