Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PERTANDINGAN TAUSYEH BAGI MASJID, SURAU DAN BALAI IBADAT SENEGARA  TAHUN 1447H/2025M

26 November 2025

PERTANDINGAN TAUSYEH BAGI MASJID, SURAU DAN BALAI IBADAT SENEGARA TAHUN 1447H/2025M

Kiarong, Rabu, 06 Jamadilakhir 1447 bersamaan 26 November 2025–Dalam usaha memakmurkan masjid sebagai pusat perkumpulan umat Islam, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid telah menganjurkan Pertandingan Tausyeh bagi Masjid-Masjid, Surau dan Balai Ibadat Senegara bagi Tahun 1447H/2025M.

Pertandingan Tausyeh ini dianjurkan sebagai platform untuk mengimarahkan syiar Islam melalui alunan zikir Tausyeh, di samping mencungkil serta mengasah bakat dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Jemaah, Belia dan Beliawanis Masjid. Penganjuran ini juga bagi merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Pertandingan ini turut bertujuan untuk mengukuhkan peranan masjid sebagai pusat perhimpunan masyarakat Islam tanpa mengira usia, memupuk minat menyertai pertandingan berunsur keislaman, serta mengekalkan warisan lagu-lagu Tausyeh dalam kalangan masyarakat Islam agar terus lestari dan tidak luput ditelan zaman.

Sebanyak 21 buah kumpulan Tausyeh yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Muslimah, Jemaah, Belia serta Beliawanis Masjid menyertai Pertandingan Tausyeh tersebut.

Sehubungan dengan itu, pada petang tadi telah diadakan Majlis Pengumuman Keputusan Pertandingan bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid; Yang Mulia Awang Haji Asminan bin Haji Chuchu, Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid; Pegawai-Pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid serta para peserta pertandingan Tausyeh.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Syafiq bin Osman, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, diikuti dengan pengumumam keputusan pertandingan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat, selaku Pengerusi Hakim. Majlis turut diserikan dengan persambahan daripada Johan Pertandingan Tausyeh, sebelum diteruskan dengan penyampaian hadiah dan saguhati kepada para peserta oleh Tetamu Kerhormat. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Melalui penganjuran pertandingan ini, diharapkan masjid bukan hanya sebagai tempat beribadat, bahkan juga berperanan sebagai medium dakwah yang dapat menarik minat masyarakat Islam agar terus berjinak-jinak, bergiat aktif dan bersama-sama memakmurkan masjid.

 

Foto: JHEM​