Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENGHARGAAN DAN DOA KESYUKURAN  BAGI GRADUAN CEMERLANG BIASISWA KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA TAHUN 2025M

18 November 2025

MAJLIS PENGHARGAAN DAN DOA KESYUKURAN BAGI GRADUAN CEMERLANG BIASISWA KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA TAHUN 2025M

Bandar Seri Begawan, Selasa, 27 Jamadilawal 1447 bersamaan 18 November 2025–Seramai tujuh belas (17) orang graduan biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama yang terdiri daripada empat belas (14) orang graduan Peringkat Sarjana Muda dan tiga (3) orang graduan Sarjana yang telah menamatkan pengajian dengan cemerlang pada tahun ini diraikan pada Majlis Penghargaan dan Doa Kesyukuran petang tadi bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Sellahuddin, Ahli Majlis Ugama Islam Brunei: Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama;  Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama lainnya.

Majlis diadakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas pencapaian cemerlang yang diraih para graduan biasiswa setelah berjaya menamatkan pengajian mereka di institusi-institusi pengajian di dalam mahupun luar negara.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar oleh Yang Mulia Awang  Mohammad Zamery bin Haji Nayan, Pegawai di Kementerian Hal Ehwal Ugama. Diteruskan dengan ucapan daripada Pengerusi Majlis, Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian sijil dan hadiah penghargaan kepada para graduan yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis dan disudahi dengan bacaan Doa Kesyukuran.

Majlis merupakan salah satu inisiatif bagi mendukung Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2025-2029 yang selaras dengan matlamat pertama Wawasan Brunei 2035 iaitu Melahirkan Rakyat Yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya.​