Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MUNAJAT KHAS ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-208 DENGAN KERJASAMA KEMENTERIAN PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI  KELOLAAN MAJLIS KEBANGSAAN KESELAMATAN JALAN RAYA (MKKJR) SEMPENA HARI MEMPERINGATI MANGSA-MANGSA LALULINTAS JALAN RAYA SEDUNIA 2025

17 November 2025

MUNAJAT KHAS ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-208 DENGAN KERJASAMA KEMENTERIAN PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI KELOLAAN MAJLIS KEBANGSAAN KESELAMATAN JALAN RAYA (MKKJR) SEMPENA HARI MEMPERINGATI MANGSA-MANGSA LALULINTAS JALAN RAYA SEDUNIA 2025

Negara Brunei Darussalam, Isnin, 26 Jamadilawal 1447 bersamaan 17 November 2025–Para pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mengutamakan sikap toleransi serta peka terhadap keadaan sekeliling.  Ini kerana antara punca berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap ego yang ada pada diri seseorang sehingga hanya memikirkan kepentingan diri sendiri.  Antaranya memandu perlahan di lorong kanan, memotong kenderaan di hadapan tanpa memberikan isyarat terlebih dahulu, berlumba haram, tidak memakai tali pinggang keselamatan dan juga menggunakan telepon bimbit ketika memandu. Jika perkara-perkara ini diberi perhatian, dicegah dan disertai dengan sikap tolak ansur insyaallah, risiko kemalangan lalulintas jalan raya yang sehingga menyebabkan kematian dapat dicegah. Memang mati itu pasti, namun sebagai umat Islam kita dianjurkan untuk sentiasa berusaha antaranya, dengan membaca doa dan berzikir sebelum memulakan perjalanan. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memberikan kerjasama padu dalam melaksanakan amanah ketika berada di jalan raya.  Jangan jadikan sikap keegoan membatasi fikiran sehingga mengundang kecelakaan kepada orang yang tidak berdosa yang akhirnya membawa penyesalan kepada diri sendiri.

Demikian antara perkara yang ditekankan di dalam Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, Ketua Unit Da'wah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyerikan Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-208 dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi kelolaan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalulintas Jalan Raya Sedunia 2025.

Munajat Khas pada petang tadi disertai bersama oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dari Surau Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

Turut menyertai, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, dan warga kerja di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan juga Ahli-Ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya.  Menyemarakkan lagi, murid-murid dan tenaga pengajar dari sekolah-sekolah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan.

Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Tahlil beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhd Suhnoromardi bin Haji Suhaimi, Guru Ugama Terlatih, Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil, Kawasan Brunei IIA, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil, Kawasan Brunei IIA.  

Seterusnya, Doa Munajat Khas dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof, Timbalan Pengetua Pengajian Tinggi Diploma 'Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai oleh Warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.  Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Asyraf bin Haji Bujang, Ketua Imam, Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.​