Bandar Seri Begawan, Selasa, 27 Jamadilawal 1447 bersamaan 18 November 2025-Bagi menzahirkan rasa syukur serta memohon keberkatan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala, warga Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah pagi tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Memperingati Pengemaskinian Nama Sekolah daripada Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) kepada nama baharu yang rasmi iaitu Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STA HB).
Majlis Doa Kesyukuran tersebut diadakan di dewan sekolah tersebut dan diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, selaku Tetamu Kehormat Majlis.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Sellahuddin, Ahli Majlis Ugama Islam Brunei: Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; pengarah-pengarah; ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis juga turut diserikan dengan kehadiran mantan-mantan pemimpin Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan Ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohammad, Pengetua Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah. Diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, dan disusuli oleh nyanyian lagu kebangsaan serta lagu rasmi sekolah.
Atur cara turut diisikan dengan Membaca Tahlil dan Doa bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman; serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Seterusnya, bacaan Doa Kesyukuran dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Saiful Wafi bin Haji Adis. Kemudiannya, persembahan puisi, sebelum beralih kepada acara perasmian logo baharu madrasah yang diadakan di ruang legar pentadbiran. Acara turut disempurnakan dengan pelancaran buku 'Menyingkap Kenangan, Meniti Sejarah' oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Mengimbau sejarah penubuhannya, upacara perletakan Batu Asas Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah telah disempurnakan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien pada 17 Jamadilawal 1384 Hijrah bersamaan 24 September 1964. Pembinaannya menelan belanja kira-kira dua juta ringgit dan siap pada tahun 1966, sebelum dirasmikan pembukaannya oleh baginda pada awal Mei 1967.
Keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap persekolahan Arab dicerminkan melalui keberangkatan baginda mengunjungi sekolah berkenaan sebanyak lima kali, bermula pada tahun 2002, diikuti pada tahun 2007, 2012, 2016 dan 2018. Keprihatinan baginda terhadap perkembangan sekolah-sekolah Arab diserlah lagi melalui perkenan baginda bagi penyelarasan nama Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah kepada Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah pada 29 Mac 2025 yang lalu.




Foto: JPI