Lambak, Ahad, 25 Jamadilawal 1447 bersamaan 16 November 2025–Sejak awal Januari hingga 13 November 2025, seramai 227 orang telah memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam. Daripada jumlah tersebut, 117 orang merupakan dari Daerah Brunei dan Muara. Jumlah ini meningkat kepada 228 orang apabila seorang lagi lelaki daripada puak Dusun memeluk agama Islam pada petang tadi.
Esmierwandi bin Suhaimi, 24 tahun, memilih Islam sebagai pegangan hidup dan melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam satu Majlis Pengislaman yang diadakan di Kampung Perpindahan Lambak Kanan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Esmierwandi bin Suhaimi, yang kemudiannya memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Esmierwandi bin Suhaimi. Pengislaman beliau disempurnakan di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu sebagai tanda penghargaan dan sokongan serta disusuli dengan Dikir Marhaban dan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis.
Majlis ini bertujuan untuk menyambut dan meraikan saudara baharu dalam suasana penuh kasih sayang dan ukhuwah Islamiah, di samping memberi sokongan moral serta bimbingan awal dalam kehidupan baharu sebagai seorang Muslim.
Semoga Muhammad Esmierwandi bin Suhaimi terus istiqamah dalam iman, diberi kekuatan dalam menempuh perjalanan baharu ini, dan sentiasa berada dalam lindungan serta rahmat Allah Subhanahu Wa Ta'ala.